Friday, January 21

Produktiviti sektor awam tidak terjejas

0

CERIA: Ali menjalani pemeriksaan tekanan darah menggunakan mesin pemeriksaan tekanan darah terkini di Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam selepas merasmikannya di Kompleks Perbadanan Putrajaya di Putrajaya, semalam. Turut sama ialah (dari kanan) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Dr Aseh Che Mat. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Produktiviti sektor awam tidak terjejas dalam situasi krisis air kerana kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi masalah tersebut, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Tidak timbul isu produktiviti penjawat awam.

“Kerajaan telah mengumumkan pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kekurangan air bukan sahaja untuk penjawat awam tetapi keseluruhan masyarakat.

“Jadi kita berharap cuaca juga akan berubah dan kita akan dapat lebih banyak hujan. Kalau tidak memang sudah ada langkah-langkah yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Pemeriksaan Kesihatan Penjawat Awam Putrajaya di Lot 25 Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 di sini semalam.

Pada masa ini, sebahagian kawasan Lembah Klang berdepan dengan masalah bekalan air berikutan program catuan air ekoran musim panas berlarutan.

Ali dalam ucapan pelancarannya berkata pusat pemeriksaan kesihatan itu merupakan satu daripada pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara Kementerian Kesihatan dan Perbadanan Putrajaya yang dilaksanakan secara pantas menggunakan kos minimum.

“Dengan adanya pusat ini penjawat awam di Putrajaya dan kawasan sekitarnya yang menjalani pemeriksaan tidak perlu bersesak-sesak bersama pelanggan lain untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata pusat pemeriksaan itu beroperasi setiap Isnin hingga Khamis mulai jam 8 pagi hingga 5 petang dan mampu menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan untuk 25 orang sehari atau 5,500 orang setahun.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pemeriksaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan tekanan darah, ujian darah, pemeriksaan fizikal, pergigian, pemeriksaan payudara dan ‘pap smear’ serta khidmat nasihat penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat.

Ali berkata pusat pemeriksaan kesihatan seumpama itu akan diwujudkan di Bukit Aman dan Dewan Puspanitapuri, Putrajaya pada masa akan datang.

Sementara itu, Ali berkata seramai 456 atau 36 peratus daripada 1,268 penjawat awam berumur 40 tahun ke atas yang menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Putrajaya tahun lepas, dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah perubatan. — Bernama

“Masalah paling banyak dikesan ialah berlebihan berat badan, tahap kolesterol tinggi dan diabetes,” katanya. — Bernama