Hari pengundian 29 Mac

0

INI KAWASANNYA: Abdul Aziz bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Shafrie Saili (kanan) menunjukkan peta bahagian pilihan raya Balingian selepas mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sarawak akan diadakan pada 29 Mac, manakala penamaan calon ditetapkan pada 17 Mac, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, seramai 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal.

“Anggaran kos perbelanjaan bagi PRK ini ialah RM910,213,” katanya pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan kerusi DUN Balingian yang dikosongkan bekas Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Kerusi DUN Balingian yang disandang Taib kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 28 Februari lepas.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mengangkat sumpah pada hari yang sama sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bagi menggantikan Taib.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

“Tarikh keluar writ ialah pada 6 Mac, tarikh keluar notis pilihan raya pada esok (hari ini) 7 Mac, tarikh penamaan calon pada Isnin, 17 Mac; tarikh pengundian awal pada Selasa, 25 Mac manakala tarikh pengundian biasa pada Sabtu, 29 Mac,” katanya.

Abdul Aziz berkata, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah gabungan Daftar Pemilih Induk 2012 dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013, Suku Tahun Ketiga 2013 dan Suku Tahun Keempat 2013 yang telah dikemaskinikan atau dibersihkan sehingga 27 Februari 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.

Beliau berkata, SPR akan melantik tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) dan tiga penolong pegawai pengurus untuk memantau perjalanan kempen.

Abdul Aziz berkata, seramai 441 petugas yang kebanyakannya dari Pejabat Daerah Mukah akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu dan Dewan Suarah Mesra Mukah dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak 22 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu sebuah pusat mengundi bagi undi awal dan 21 pusat mengundi bagi pengundian biasa,” katanya.

Pada sesi soal jawab, Abdul Aziz berkata SPR cuba mengadakan PRK Balingian serentak dengan PRK Kajang, namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan kesuntukan masa untuk menyiapkan daftar pemilih terkini.

“Pegawai-pegawai yang terlibat dalam hal-hal teknikal tidak dapat siapkan kerja masing-masing, terutama daftar pemilih,” jelasnya.

Beliau berkata, SPR menetapkan tarikh pengundian dan penamaan calon PRK Balingian lebih awal berbanding PRK Kajang kerana persediaan telah dilakukan selepas keputusan pengosongan kerusi Balingian itu diketahui lebih awal.

“Jadi saya telah minta Pengarah SPR Sarawak untuk buat persediaan dari segi perkara-perkara logistik, pusat mengundi, pegawai pengurus lebih awal.

Semua dah sedia, cuma tunggu YB DUN (Taib) letak jawatan,” jelasnya.

SPR menetapkan 23 Mac sebagai hari pengundian PRK Kajang manakala 11 Mac pula hari penamaan calon.

Sementara itu di Kuching, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya beberapa hari sebelum hari penamaan calon bagi PRK DUN Balingian.

Menurut Adenan, beliau akan berbincang tentang calon dengan pemimpin-pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam masa terdekat.

Menurutnya, beberapa nama telah diserahkan kepadanya dan semua terdiri daripada anak kelahiran kawasan DUN Balingian.

“Kita sudah bersedia (untuk mempertahankan kerusi Balingian).

Calon akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan barisan pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Adenan yang juga Pengerusi BN negeri berkata, berdasarkan rekod yang lepas, beliau yakin BN dapat mengekalkan kerusi tersebut.

Mengenai PKR yang akan bertanding di kerusi majoriti Melanau itu, beliau berkata tidak ada halangan bagi mereka untuk berbuat demikian.

“Ini negara demokrasi, malahan saya dengar calon Bebas pun akan bertanding kelak,” katanya.

Antara nama yang dikaitkan sebagai calon BN ialah anak kelahiran Mukah, Adrian Dolhat iaitu seorang jurutera berumur 30-an.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya, anak bekas Ketua Menteri Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib dan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Akit Sebli diuar-uarkan bertanding di kerusi itu.