Sunday, August 9

Individu dan badan korporat diseru sertai program anak angkat di KKHYM

0

MIRI: Mana-mana individu atau badan korporat diseru untuk menyertai program anak angkat bagi anak-anak yang berlindung di bawah jagaan Kompleks Kebajikan Hamidah Yaakup Miri (KKHYM).

Pengerusi Jawatankuasa Exco KKHYM Julani Mokhtar berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan penyertaan melalui pemberian dana ikhlas secara bulanan.

“Kami berharap mana-mana individu atau badan korporat dapat menyertai program ini demi masa depan anak-anak yang berlindung di kompleks ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Pihaknya baru-baru ini turut selesai mengadakan perbincangan dalam satu mesyuarat mengenai hal berkenaan.

Menurutnya, tiada syarat yang khusus dikenakan untuk mereka yang berminat menyertai program malah terbuka kepada pihak Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Mengenai jadual dan kebenaran untuk membawa anak angkat keluar daripada kompleks, ia boleh dirunding melalui persetujuan pihak pengurus kompleks serta ibu bapa atau penjaga anak-anak berkenaan.

Program berkenaan katanya baharu sahaja bermula pada tahun ini dan bakal melibatkan sekitar 70 anak-anak yang berlindung di KKHYM.

Sesiapa yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program, boleh datang sendiri ke kompleks berkenaan di Lot 2930, Blok 6, Desa Indah 3 atau menghubungi talian 085-408421/22.

Pengurus Cawangan KKHYM pada masa ini adalah Dayang Noorjanah Awang Jaya.

KKHYM mempunyai visi untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim menerusi sistem pengurusan yang efisien dan berwawasan.

Selain itu, misinya adalah untuk menanam dan memupuk asas serta nilai Islam untuk menjadikan mereka anak yang soleh serta solehah dengan memberi kemudahan pendidikan dan bimbingan.

Kompleks juga menyedia kemudahan asas yang lengkap untuk memberi sinar harapan dalam hidup anak-anak dan membina tubuh dan daya fikiran anak-anak agar menjadi insan yang sihat, cergas, berdisiplin dan berakhlak.