Wednesday, January 22

Inisiatif murni bekas pelajar

0

MENGAMBIL kira kepentingan penggunaan bahasa Inggeris khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, sebanyak 700 buah buku cerita bahasa Inggeris didermakan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St. Agnes, Likas.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah projek derma buku cerita bahasa Inggeris oleh kumpulan pertama bekas pelajar kelas 1975 sekolah berkenaan.

Penyelaras projek Peggy Liow berkata, walaupun usaha untuk memberi sumbangan kepada SRK St Agnes agak terlewat, namun masih belum terlambat untuk melaksanakannya.

“Kami menganggap sudah tiba masanya sekolah lama kami menerima sumbangan daripada kumpulan bekas pelajar.

“Justeru, menerusi projek derma buku cerita berbahasa Inggeris ini, para pelajar sekarang dapat berkongsi pengetahuan dan memupuk minat membaca terutamanya buku cerita bahasa Inggeris.

“Selain itu, ia juga sebagai galakan kepada pelajar untuk menanam minat membaca buku serta memastikan mereka mendapat pendedahan yang cukup terhadap bahan bacaan berbahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena majlis penyerahan sumbangan buku cerita bahasa Inggeris di SRK St. Agnes, Likas kelmarin.

Peggy berkata, sumbangan yang diberikan itu juga dapat membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris para pelajar.

Pada masa sama jelasnya, ia seiring dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia supaya boleh membaca, menulis dan menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

“Semua buku yang didermakan adalah sesuai sebagai bahan bacaan kanak-kanak sekolah rendah.

“Aktiviti ini juga sempena dengan program pertemuan semula bekas kumpulan pelajar dari kelas 1975 yang akan diadakan pada 15 hingga 17 Ogos depan,” katanya.

Selain itu jelasnya, kumpulan bekas pelajar yang terlibat juga merancang untuk membuat aktiviti bercerita dan membaca bersama pelajar sekolah.

Setakat ini katanya, cadangan untuk mengadakan aktiviti itu mendapat persetujuan dari pihak sekolah dan proses perbincangan untuk menentukan jadual aktiviti sedang dijalankan.

“Aktiviti ini akan diketuai oleh Caroline Farida Hamid yang juga salah seorang daripada bekas pelajar dari kelas kami.

“Kami mencadangkan supaya program bercerita dan membaca ini dibuat dua kali sebulan melibatkan satu kumpulan pelajar sekurang-kurangnya 15 orang.

“Selain bercerita, kita juga akan membimbing pelajar tentang kaedah pembacaan bahasa Inggeris yang betul,” jelasnya.

Sementara itu, Guru Besar SRK St. Agnes Kuilim Minin berkata, sumbangan berkenaan adalah yang pertama seumpamanya diterima oleh pihaknya.

Sebelum ini, pihaknya hanya bergantung kepada kewangan sekolah untuk membeli buku-buku cerita dan rujukan untuk pelajar.

Beliau berkata, sekolah sentiasa mengalu-alukan sumbangan seperti itu kerana ia membantu menambahkan koleksi buku sedia ada.

“Sekolah turut bersetuju dengan cadangan untuk membuat aktiviti bercerita dan membaca memandangkan komuniti dan agnesi luar sememangnya digalakkan membantu akademik pelajar,” katanya.