Program SRS berjaya kurangkan indeks jenayah

0

LANCAR: Joseph (tengah) melakukan simbolik pelancaran Kempen 10 Keluarga 1 Anggota SRS sambil disaksikan Abdul Wahap (dari kiri), Misnu, Gandesan dan Dirwana. — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Program Skim Rondaan Sukarela (SRS) berjaya mengurangkan in­deks jenayah negara pada kadar 9.8 peratus pada tahun 2011.

Malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, lebih daripada 90 peratus ahli komuniti bera­sa selamat mendiami kawasan yang mempunyai SRS.

Tetapi menurut Joseph, kejayaan dan keberkesanan SRS yang sebenarnya adalah hasil penglibatan menyeluruh pihak masyarakat setempat sendiri.

“Walaupun kita mampu mengurangkan jenayah, kita harus menangkis persepsi awam tentang tahap jenayah yang terus berkekalan malah menjadi lebih teruk walaupun perangkaan jenayah mutlak semakin berkurangan.

“Program SRS bukan sa­haja dapat memperkasakan keupayaan khidmat polis, malah turut melibatkan lebih ramai rakyat dalam usaha mengurangkan jenayah.

“Atas sebab itu, kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil langkah proaktif dengan menyasarkan sekurang-kurangnya seorang daripada 10 ahli keluarga di sesebuah kawasan menyertai peronda SRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen 10 Ke­luarga 1 Anggota SRS serta Penghargaan Khas Rukun Tetangga Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri Lama di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) mewakili Ketua Pengarah JPNIN Malaysia Gandesan Letchumanan, Pengarah JPNIN Sarawak Dirwana Azool, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha dan Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Terdahulu dalam ucapan­nya, Joseph berkata den­gan pelancaran SRS ia telah membolehkan ahli komuniti menjalankan rondaan secara sukarela pada waktu malam bermula jam 10 malam hingga 6 pagi di sesuatu kawasan.

SRS jelasnya juga mem­bantu menguatkuasakan un­dang-undang, memberi per­lindungan nyawa dan harta benda, mempertingkatkan se­mangat kejiranan di kalangan penduduk serta memulihkan keadaan setempat agar men­jadi aman dan sejahtera.

“JPNIN telah diberi na­fas baharu di bawah ga­gasan 1Malaysia dan Pro­gram Transformasi Kerajaan (GTP) yang diilhamkan dan dipacu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2009.