Ruang niaga di pekan Bau tidak mencukupi

0

KUCHING: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat dan Majlis Daerah Bau (MDB) diminta segera menyelesaikan masalah ruang niaga yang tidak mencukupi di pasar basah di pekan Bau.

Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mas Gading Boniface Willy Tumek berkata, masalah ruang niaga yang tidak mencukupi menyebabkan keadaan di situ sangat sesak dengan peniaga dan orang ramai sehingga menimbulkan situasi kurang selesa.

Pasar yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk ruang menjual ikan dan sayur-sayuran dikatakan akan menjadi lebih sesak pada hujung minggu serta musim perayaan.

“Saya telah menerima permintaan daripada penjual-penjual sayur di situ agar mengetengahkan isu ini dan meminta kementerian bertanggungjawab serta MDB menyelesaikan segera masalah tidak cukup ruang niaga di pasar basah Bau.

“Ruang yang tidak mencukupi menyebabkan laluan berjalan kaki di dalam pasar itu sangat sempit akibat produk jualan para peniaga di situ.

“Kekurangan ruang niaga itu juga menyebabkan ramai peniaga berniaga di atas petak parkir yang berada di luar pasar berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya keadaan pasar basah itu yang mula beroperasi pada pertengahan tahun 1980-an tidak dapat menampung pertumbuhan pesat daerah Bau ketika ini.

Katanya, ketika mula beroperasi, penduduk daerah Bau hanya sekitar 32,000 dan statistik 2010 menunjukkan jumlahnya meningkat hampir 55,000.

“Justeru kami meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat khususnya, menyediakan ruang niaga tambahan bagi menampung peningkatan jumlah peniaga di pasar itu ketika ini.

“Terdapat satu bangunan milik MDB yang sesuai diubah suai menjadi pasar basar sebagai tambahan kepada yang sedia ada, ketika ini digunakan oleh majlis sebagai pangkalan mereka,” ujarnya.