Saturday, December 7

262 orang ditahan di Semporna

0

Kesemuanya dipercayai PATI  di Pulau Nusa Tengah dan Pondohon

SEMPORNA: Ops Gasak 3, yang dilancar Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) semalam, menyaksikan penahanan 262 individu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pulau Nusa Tengah dan Pondohon (pondok-pondok di laut berdekatan Pulau Nusa Tengah) di perairan Semporna.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata kesemua mereka berusia lingkungan enam bulan hingga 76 tahun serta ditahan dalam operasi yang bermula jam 6 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 121 adalah lelaki.

“Kita telah membuat pemeriksaan dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau memiliki dokumen yang meragukan, dan kita serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi berkenaan di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM Datuk Abdul Rashid Harun, Pengarah Bahagian Pertahanan ESSCOM Mejar Jeneral Datuk Masrani Paiman dan Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Osman.

Mohammad berkata Ops Gasak 3 merupakan operasi bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan  Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa agensi lain termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Pejabat Daerah Semporna.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang baik antara pelbagai agensi yang turut sama menjayakan Ops Gasak 3, yang antara lain, bertujuan membersihkan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) daripada didiami PATI,” katanya.

Beliau berkata Ops GASAK, yang sebelum ini tertumpu di kawasan pulau, mungkin akan diperluas ke perkampungan air pada masa akan datang.

Mohammad turut meminta majlis daerah Semporna merobohkan rumah yang diduduki PATI bagi memastikan tidak ada lagi pendatang asing yang bertapak di daerah ini, khususnya di Pulau Nusa Tengah.

Katanya, Ops Gasak 3 merupakan susulan Ops GASAK 2 di Kalapuan pada 29 Dis lepas dan Ops Gasak 1 yang dilancar pada 24 Nov membabitkan empat pulau iaitu Pulau Pom Pom, Pulau Mataking, Pulau Mabul dan Kapalai yang kesemuanya dalam kawasan ESSZONE. — Bernama