Sultan Selangor rasmi Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu

0

PENERANGAN: Dr Japar (kanan) menerangkan kepada Baginda (tengah) mengenai pelan pembangunan masa hadapan UPMKB.

BINTULU: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di Dewan Sri Kenyalang universiti berkenaan, di sini petang semalam.

Baginda yang merupakan Tuanku Canselor UPMKB tiba di Dewan Sri Kenyalang sekitar jam 3 petang sejurus diberi Sembah Taklimat Pembangunan dan Perancangan UPMKB oleh Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke UPMKB dan turut diberi penghormatan menyaksikan upacara Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) antara UPMKB dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

UPMKB diwakili oleh Fauzi manakala BDA diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datu Mohidin Ishak.

Antara kandungan perjanjian itu kerjasama bakal dijalinkan antara kedua-dua pihak dalam program kemajuan sektor pertanian dan agrikultural di bahagian ini.

Pada masa sama, membuka lembaran baharu kepada mana-mana pelajar latihan industri yang ingin membuat latihan industri mereka di BDA dan juga agensi kerajaan lain di sini.

Sejurus itu, Baginda diiringi ke ruang pameran dan dengan upacara menanam pokok sebagai simbolik perasmian universiti pertanian terulung di negara ini.

Sebelum keberangkatan Baginda serta rombongan sekitar jam 5 petang, Sultan Sharafuddin turut menghadiri santapan petang bersama-sama warga kakitangan dan pelajar UPMKB serta tetamu.

Baginda turut menghadiri Majlis Santapan Malam dianjurkan khas oleh UPMKB di Hotel Parkcity Everly Bintulu sebagai mengalu-alukan kedatangan Baginda ke sini.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Dekan Fakulti Agrikultural dan Sains Makanan UPMKB, Profesor Dr Japar Sidik Bujang.