Lelaki maut jatuh dari tingkat 12

0

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berumur 31 tahun meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat 12 di Wisma MABA Jalan Hang Jebat di sini lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata, Lee Hon Hiung mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

Katanya polis menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan ada individu yang terjatuh dari bangunan tersebut.

“Setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian itu dan siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Katanya, kejadian disedari oleh orang awam yang terdengar bunyi objek jatuh.

Zainuddin berkata polis telah menghubungi waris simati dan mereka memaklumkan bahawa mendiang mengalami penyakit kurang daya ingatan.

“Mayatnya telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat akan dijalankan esok,”katanya.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. — Bernama