Pengawal keselamatan maut dilanggar kereta

0

KOTA TINGGI: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta berhampiran simpang masuk Taman Kota dekat sini, malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman, dalam nahas jam 7.30 malam di Km3, Jalan Kota Tinggi-Kluang itu Irwan Abdullah, 55, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan balik dari tempat kerja di sebuah ladang, apabila motosikalnya masuk ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh dan bertembung dengan sebuah kereta, katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya akibat pertembungan dengan kereta dari arah Kluang itu, mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan.

Pemandu kereta berusia 51 tahun tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama