Tuesday, September 29

Polis serbu makmal mini memproses dadah di Labu

0

SEREMBAN: Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan menyerbu sebuah ladang pisang di Labu dekat sini kelmarin dan menjumpai makmal mini memproses dadah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata dalam serbuan pada kira-kira jam 11 pagi itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang keluar dari sebuah rumah papan di ladang tersebut dan membawa kepada penemuan satu ketulan mampat bahan tumbuhan kering disyaki dadah kannabis seberat 473 gram.

“Ekoran itu, suspek telah membawa polis ke kandang kambing di mana pihak polis telah menjumpai satu kampit kanvas mengandungi plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah heroin seberat 9,287 gram.

“Turut dijumpai adalah peralatan untuk memperoses dadah heroin.

“Pemeriksaan di reban ayam di ladang itu juga menjumpai satu tangki air yang mengandungi satu kampit kanvas berisi 12 paket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah heroin seberat 7,474.51 gram.

Turut dijumpai enam botol kaca berisi cecair disyaki kimia serta pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk pemprosesan dadah heroin,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Osman berkata berat keseluruhan bahan yang disyaki dadah jenis heroin itu adalah 16,761.51 gram dengan nilai harga pasaran dianggarkan kira-kira RM700,761.

Katanya siasatan awal menunjukkan tempat kejadian merupakan makmal haram pemprosesan dadah jenis heroin dan stor simpanan dadah berkenaan.

Polis percaya dadah ini adalah untuk pasaran di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.

Pihak polis masih meneruskan siasatan dalam usaha mengesan anggota sindiket yang masih bebas.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. — Bernama