Belum ada keperluan kaji permit pembakaran semula

0

KURANG NAMPAK: Keadaan bandar Sibu hasil tinjauan dari Tingkat 24 Wisma Sanyan, semalam.

SIBU: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) tidak akan mengkaji semula permit pembakaran terbuka pada waktu ini kerana keadaan jerebu di Sarawak masih terkawal.

Menurut sumber NREB, pihaknya bagaimanapun akan melakukan pemantauan secara teliti di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian semasa dihubungi pemberita berikutan kenaikan mendadak Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman.

Semasa bacaan pada jam 12 tengah hari semalam, Sri Aman mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 99 diikuti Sibu (71), Sarikei (57) dan Bintulu (54).

Manakala, tempat-tempat mencatatkan kualiti udara yang sihat.

“Permit pembakaran terbuka boleh dikaji semula bila-bila masa bergantung kepada keadaan cuaca. Tetapi pada masa ini, ia tidak perlu,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa NREB akan melakukan pemantauan terhadap aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negeri untuk memastikan tiada masalah jerebu.

Beliau percaya keadaan berjerebu yang dihadapi ketika ini adalah akibat kebakaran hutan di beberapa tempat, selain aktiviti pembakaran di sekitar kawasan kediaman.

Justeru, beliau menginkatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka di kawasan kediaman mereka kerana ia boleh menyebabkan keadaan berjerebu bertambah serius.

Dalam pada itu, tinjauan dari Tingkat 24 Wisma Sanyan mendapati kawasan bandar Sibu diselubungi jerebu yang agak ketara.