Pengurangan subsidi bolehkan pemberian BR1M

0

LONG LAMA: Pengurangan subsidi ke atas bahan api pada tahun lepas didakwa pihak pembangkang membebankan rakyat adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok berkata, antara hasil secara langsung kepada pemotongan subsidi berkenaan adalah penerimaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun ini.

“Mereka (pembangkang) cakap benda yang tidak masuk akal, sekarang kita lihat untuk siapa wang (bantuan) kalau tidak kepada rakyat juga,” ujarnya ketika perasmian Majlis Penyerahan BR1M 3.0 di Dewan Masyarakat Long Lama semalam.

Menurutnya jika di kawasan pedalaman seperti Baram dan Telang Usan, pihak yang tidak mempunyai kenderaan tidak akan dapat menikmati subsidi bahan api daripada kerajaan ketika membeli bahan tersebut.

“Tetapi sekarang semua yang layak telah menerima kemudahan bantuan secara langsung daripada kerajaan terus kepada rakyat,” jelasnya.

BR1M 3.0 juga adalah bukti tertunainya manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, katanya.

“Bukan sahaja tunai manifesto, namun ia lebih baik kerana terdapat penambahan nilai penerimaan,” katanya lagi.

Itu kata Dennis adalah satu lagi bukti kerajaan yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah tetap menjaga kebajikan serta berlaku adil.

Seramai 9,322 penerima bagi kawasan Baram, manakala Telang Usan (2,842) menerima bantuan tersebut pada tahun ini.

Sementara itu mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 pula, Dennis meminta penduduk Telang Usan serta Baram sama-sama berdoa untuk keselamatan penumpang serta kru pesawat itu.

Turut hadir Ketua Operasi Negeri Bank Simpanan Nasional Rejini Japar Ali serta ketua-ketua masyarakat tempatan.