Pengguna berhak boikot: Jainab

0

KENINGAU: Pengguna berhak memboikot premis-premis perniagaan yang menaikkan harga barang secara tidak berpatutan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hajah Jainab Ahmad Ayid berkata, para pengguna wajar memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara melampau dan mengambil kesempatan daripada pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Katanya, tindakan pengguna memboikot premis yang menaikkan harga barang sesuka hati adalah satu langkah mengelakkan peniaga tidak menaikkan barang dengan sewenang-wenangnya.

“Sebagai pengguna mereka perlu bijak membuat pilihan dan jangan terjerumus dengan tindakan peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang lebih daripada pengguna,” katanya kepada media selepas melancarkan Sudut Pengguna di Perpustakaan Wilayah Keningau, di sini kelmarin.

Jainab berkata, para pengguna juga berhak melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya pemantauan dan tindakan dapat diambil terhadap peniaga terbabit.

“Kita di pihak kementerian dan jabatan yang berkaitan tidak dapat membuat pemantauan secara menyeluruh kerana bilangan pegawai dan kakitangan yang terhad. Justeru, kita meminta kerjasama pengguna dan jabatan yang berkaitan membuat pemantauan,” katanya.

Ini katanya, bagi membolehkan kementerian dan jabatan serta agensi di bawahnya dapat mengambi tindakan yang sewajarnya terhadap peniaga yang menaikkan harga barang termasuk mereka yang tidak meletakkan tanda harga barang jualan.

Pada hari sama, Jainab merasmikan majlis penutupan Dialog Antara Agensi Kerajaan bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat di Dewan Audotrium Perpustakaan Wilayah di sini.

Menurut Jainab, majlis dialog itu bertujuan memberi peluang kepada pemimpin masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin Pertubuhan Wanita di kawasan ini mengetahui peranan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan kepenggunaan dan kebajikan termasuk Bomba dan Penyelamat.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir kawasan pedalaman di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip.

Sebanyak 2,517 ketua keluarga membabitkan seramai 7,530 orang melibatkan daerah Keningau, Temom dan Nabawan menerima bantuan berbentuk barang makanan yang disalurkan kepada pejabat-pejabat daerah berkenaan.

Selain itu, Jainab turut menyampaikan bantuan pakaian seragam, buku dan alat tulis kepada murid SK Gumisi, SK Sapong dan SK Enubai.