KUCHING: Pembinaan Rumah Dayak kini sudah mencapai tahap siap sepenuhnya, kata Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Tan Sri William Mawan Ikom.
Beliau menambah, ia cuma perlu dimuktamadkan dengan bekalan elektrik dan air sahaja.
“Tahap pembinaan sudah hampir 100 peratus siap cuma ia perlu dilengkapkan dengan bekalan elektrik dan air.
“Selepas dimuktamadkan, ia akan mendapat Permit Menduduki (OP),” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat SDNU di pejabatnya di sini, semalam.
Ditanya sama ada lot di bangunan tersebut akan disewakan atau dijual, Mawan berkata pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada pemaju.
“Beberapa lot sudah ditempah dan kita (SDNU) ada bahagian di sana.
“Ia sebuah bangunan yang sangat indah dan saya pasti ada orang yang membeli atau menyewanya,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Sosial itu berkata, beliau juga akan melawat ke tempat berkenaan bagi melihat bagaimana bangunan itu dapat menggambarkan imej dan komitmen SDNU.
“Ia melambangkan masyarakat Dayak dan saya perlu melihat sama ada badan korporat lain atau inisiatif dapat diusahakan untuk memperluaskan kewujudan kita,” katanya.
Dimulakan pada 1997, projek tersebut akan menjadi simbol perpaduan Dayak sebaik siap kelak.
Perjanjian juga telah ditandatangani antara SDNU dan pemaju di mana 80 peratus daripada pemilikan harta diberikan kepada pemaju manakala SDNU memiliki 20 peratus.