PR bermesyuarat di Sibu, tentukan calon PRK esok

0

KUCHING: Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan mesyuarat di Sibu esok sekali gus mengumumkan calon yang bertanding untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri See Chee How berkata, beberapa pemimpin PR pusat dan negeri dijangka hadir pada mesyuarat tersebut.

Menurutnya, tiga calon yang berpotensi merangkumi seorang Melanau Kristian dan dua Melanau Islam yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an.

“Kita akan mengadakan mesyuarat di Sibu pada Ahad dan selepas itu (mesyuarat) kita akan umumkan calon.

“Apa yang boleh saya katakan, sesiapa sahaja calon yang dipilih adalah terbaik untuk penduduk Balingian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu identiti calon melainkan hanya berkata dua daripada calon merupakan ahli perniagaan, manakala seorang profesional.

Sama ada calon merupakan Islam atau Kristian, menurutnya, bukan perkara utama dan tidak menjadi isu bagi PR.

“Dalam PR, kaum dan agama (calon) tidak menjadi isu,” ujarnya sambil menyifatkan calon yang diketengahkan mampu berkhidmat dengan baik kepada masyarakat.

Pada masa sama, See menjangkakan PRK DUN Balingian akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) hari ini di Mukah.

Hari penamaan calon untuk PRK DUN Balingian ditetapkan pada 17 Mac, manakala pembuangan undi 29 Mac.