Malaysia nafi tuduhan tidak prihatin keluarga penumpang di China

0

KUALA LUMPUR: Malaysia menafikan tuduhan media antarabangsa bahawa ia tidak prihatin terhadap keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kerana tidak menghantar wakil ke perjumpaan bersama keluarga berkenaan di Beijing, China.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia amat prihatin dengan keluarga berkenaan dan Kumpulan Kerja China juga telah mengadakan perjumpaan dengan Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Saruddin pada jam 8.20 malam, 13 Mac lepas.

Dalam perjumpaan itu, katanya kerajaan China diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan Beijing, Liu Zhi.

“Turut menghadiri perjumpaan itu ialah wakil-wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS serta beberapa pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

“Semasa pertemuan tersebut, Liu memaklumkan kepada Datuk Iskandar Saruddin bahawa atas tujuan keselamatan, beliau dinasihati supayatidak hadir dalam sesi taklimat bersama ahli keluarga mangsa,” kata Anifah dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata Liu menyatakan Iskandar hanya perlu hadir (pada perjumpaan itu) sekiranya ada maklumat baharu dan penting yang ingin disampaikan contohnya, penemuan pesawat yang hilang itu.

Liu menasihati Iskandar demikian kerana kemungkinan berlakunya tindakan luar kawalan oleh keluarga mangsa terhadap pegawai dari kedutaan termasuk ke atas beliau, kata Anifah.

“Dalam hal ini, Duta Besar (Iskandar) memaklumkan kepada Liu bahawa beliau bersetuju dengan nasihat pihak China supaya hanya menghadiri sesi taklimat yang penting sahaja dengan keluarga mangsa,” katanya.

Pada masa sama, Anifah melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada masyarakat antrabangsa khususnya negara-negara Asean yang turut sama terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat milik MAS itu.

Operasi mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, memasuki hari kelapan semalam setelah hilang pada Sabtu lepas. — Bernama