Ahli dan pemimpin penentu kerelevanan SUPP

0

BINCANG: Jeniri (berdiri) membincangkan idea dan pendapat mengenai isu yang berkaitan dengan SUPP pada Forum Kerelevanan SUPP di Kuching semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Akan kehilangan satu atau dua kerusi lagi jika tidak berubah dan gagal dipulihkan dalam tempoh terdekat

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan kehilangan satu atau dua kerusi lagi pada masa akan datang jika tidak berubah dan gagal dipulihkan dalam tempoh terdekat ini.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial UNIMAS Dr Jeniri Amir dalam ceramahnya pada Forum Kerelevanan SUPP semalam.

“SUPP masih lagi relevan tetapi sejauh mana kerelevanannya itu, bergantung kepada kepimpinan dan ahli-ahli parti sendiri.

“Pada pandangan saya masalah yang sedang dilalui oleh SUPP ketika ini lebih teruk daripada kekalahan pada Pilihan Raya Negeri 2011.

“Jika SUPP tidak berubah sekarang saya tidak menolak kemungkinan parti ini akan hilang satu atau dua kerusi lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tambah Jeniri, pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) semakin kuat dan ia turut disedari oleh anggota serta penyokong SUPP sendiri.

Justeru katanya, sudah tiba masanya untuk SUPP berubah dengan mengambil kira semua aspek jika mahu terus kekal relevan.

“Tiada siapa dapat menyelamatkan SUPP melainkan anda sendiri.

“Malah segigih mana Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menyelesaikan masalah dalaman SUPP, ia juga tidak akan berhasil jika tiada kesungguhan daripada pihak anda.

“Jadilah seorang hero, suarakan apa yang rakyat inginkan dengan selantang-lantangnya.

“Lebih baik anda mati sebagai hero daripada hanya bertahan tanpa membawa sebarang harapan dan sinar baharu,” tambah Jeniri yang juga seorang penganalisis politik, penulis serta kolumnis.

Sejak kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri 2011, banyak yang diperkatakan mengenai SUPP, malah ada yang beranggapan SUPP sudah tidak lagi diperlukan.

Masyarakat Cina dilihat mulai bosan dengan SUPP dan bagaimana SUPP mahu keluar daripada masalah ini?

Kedua-dua puak Kumpulan Presiden Tan Sri Peter Chin dan Dato Sri Wong Soon Koh harus buang yang keruh dan ambil yang jernih dan terus bergerak ke hadapan.