India tidak kesan MH370 di Pulau Andaman

0

Pengawal trafik udara menolak kemungkinan pesawat terbang melalui ruang udara India

NEW DELHI: Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sekitar pulau Andaman dan Nicobar belum berhasil setakat ini, pegawai pemerintah Andaman dan Nicobar (ANC) mengesahkan kelmarin.

Dua kapal tentera laut India termasuk dari negara lain terus mencari di lokasi yang ditentukan pihak Malaysia, namun tiada sebarang tanda pesawat dikesan.

“Tiada tanda-tanda jet terhempas berhampiran kawasan pencarian. Perincian yang diperoleh adalah kabur. Pasukan mencari kami memerlukan titik permulaan untuk mencari. Kami telah mencari di semua kepulauan tetapi tiada tanda-tanda pesawat,” The Times of India memetik Laksamana Madya Sudhir Pillai, ketua staf ANC sebagai berkata.

Pengawal trafik udara di Kolkata turut menolak kemungkinan pesawat yang hilang itu terbang melalui ruang udara India, satu dari dua kemungkinan yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin.

Sekiranya teori ini betul, pesawat tidak boleh mengelak daripada dikesan pihak Maklumat Penerbangan Serantau Kolkata.

Satu lagi laluan alternatif pesawat yang sistem komunikasinya dipercayai sengaja dimatikan, ialah Lautan Hindi, di selatan Selat Melaka yang kali terakhir pesawat dikesan radar tentera Malaysia, menurut laporan itu.

Pillai berkata ini akan membawa pesawat ke selatan Andaman.

Beliau berkata setiausaha pengawal trafik udara, Sugata Pramanik telah menjelaskan sementara pesawat MH370 mungkin telah mengelak dari dikesan radar pemantauan sekunder, blip dari pesawat Boeing 777-200ER yang besar itu sudah tentu dapat dikesan Tentera Udara India yang menggunakan radar pemantauan utama untuk mengesan seperti pencerobohan ruang udara.

“Sekiranya sesuatu pesawat tidak mahu dilihat, ia dengan mudah boleh hilang daripada radar awam dengan mematikan transponder. Tetapi ia tidak boleh mengelak radar sistem pertahanan.

“Tentera Udara India mempunyai radar yang dipasang di seluruh negara dan tidak meyakinkan tiada yang dapat mengesan sebarang blip ganjil,” katanya. — Bernama