Keluarga penumpang MH370 dari Medan kagum dengan komitmen Malaysia

0

HARGAI: Robinhood (kiri) abang kepada Surti Dahlia salah seorang penumpang pesawat MH370 ditemu bual secara eksklusif dengan Bernama TV di lobi Hotel Everly pada hari kesembilan kehilangan pesawat tersebut di Putrajaya, semalam. Turut sama isterinya, Delfi (dua kanan). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Anggota keluarga penumpang Penerbangan Malaysia MH370 warga Indonesia semalam melahirkan rasa puas hati dengan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam usaha mencari pesawat itu yang kini memasuki fasa baharu.

Abang kepada Surti Dahlia, penumpang MH370, Robinhood Simanjuntak berkata beliau masih menaruh harapan tinggi agar kesemua penumpang pesawat berada dalam keadaan selamat dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Setiap malam, selepas solat saya berdoa agar dapat berjumpa dengan adik Surti.

“Saya masih berharapan tinggi. Kita tak boleh buat sebarang keputusan selagi belum mengetahui cerita sebenarnya. Kalau ia di luar batasan, kita terpaksa terima,” katanya kepada pemberita sebelum mendaftar keluar dari hotel Everly di sini.

Robinhood dan isterinya Delfi Siagian berada di sini sejak Ahad lalu untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung nasib yang menimpa adik perempuannya, bersama penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Sabtu lalu.

Robinhood berkata beliau dan isterinya akan pulang ke kampung halaman mereka di Medan untuk membantu siasatan polis berhubung kehilangan pesawat itu sejak Sabtu lalu.

Katanya polis Medan menghubungi beliau kelmarin.

“Jadi saya kena berada di Medan untuk membantu siasatan polis. Lagipun di sini kami masih menunggu berita mutakhir nasib penumpang (MH370). Harap kami dapat berita baik dari rumah (Medan), katanya. — Bernama