Tiada Sijil Perakuan Bomba kesalahan serius: Norhisham

0

20 kes dibawa ke mahkamah atas kesalahan ini, enam daripadanya sudah didaftar untuk dibicarakan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak merancang membawa 20 kes ke mahkamah atas kesalahan tidak memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) sehingga penghujung tahun ini.

Pengarahnya Norhisham Mohamad berkata, setakat ini pihaknya telah mendaftarkan enam kes untuk dibicarakan di mahkmah.

Menurutnya, pemilik premis yang bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

“Kami rancang untuk membawa keseluruhan 20 kes ke mahkamah tahun ini atas kesalahan tidak memiliki FC.

“Pada masa ini enam kes sudah didaftarkan dan kami masih menunggu tarikh perbicaraan,” katanya ketika dihubungi semalam

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang diambil terhadap premis yang gagal mendapatkan FC.

Menurutnya, tumpuan pada tahun ini akan diberikan kepada usaha mendaftarkan kilang sawit yang setakat ini sebanyak 53 premis sudah didaftarkan.

“Kami akan mula pergi ke kilang sawit untuk memastikan lebih banyak premis ini (kilang sawit) mendapatkan FC,” ujarnya.

Norhisham berkata, secara keseluruhannya sebanyak 389 premis pelbagai jenis di negeri ini mempunyai FC.

Mengulas mengenai insiden letupan tiga kilang di Serian pada Jumaat lepas, beliau menambah, pihaknya masih menyoal siasat secara lebih lanjut tiga saksi.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kerja-kerja kimpalan.

“Apa yang kita nak siasat sekarang adalah macam mana api merebak dan menyelidik sampel baja,” jelasnya.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan 19 pekerja dilaporkan terperangkap sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba dan polis.