Sunday, April 21

Hassan miliki pakej yang diperlukan

0

Hassan

KUCHING: Pemain Lubnan Hassan Mohamad bakal menjadi pemain import kedua disambar Sarawak dalam usaha pasukan mempertajamkan barisan serangan.

Ketua Jurulatih Robert Alberts berkata, pemain itu menarik minatnya setelah memperagakan aksi meyakinkan sepanjang sesi ujian sejak Isnin lalu.

“Saya telah mencadangkan beliau kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan rundingan sedang berjalan lancar untuk melamarnya,” katanya sebelum berlepas ke Pahang semalam.

Menurut Alberts, Hassan memiliki pakej yang sangat diperlukan untuk memantapkan semula jentera serangan Sarawak.

“Beliau mempunyai kemahiran kawalan bola yang baik, pantas dan bijak mencari ruang untuk mencipta jaringan,” katanya.

“Seperkara yang saya minat terhadap Hassan adalah sikapnya dalam padang di mana beliau sentiasa membantu rakan untuk mendapatkan bola.

” Hassan, 25, akan menggantikan Milorad Janjus yang bakal digugurkan kerana masih bergelut untuk memulihkan kecederaan yang dialaminya.

Beliau memulakan karier profesionalnya dengan menyertai kelab yang bersaing dalam Liga Perdana Lubnan, Al-Nejmeh dari 2011-2012.

Pemain kebangsaan Lubnan itu juga pernah menyertai kelab Thailand, BEC Tero Sasana FC hingga awal tahun ini sebelum berhasrat untuk berhijrah ke Sarawak.

Kelmarin, Sarawak melengkapkan perpindahan penyerang Australia Ryan Alan Griffiths yang menggantikan Alireza Abbasfard.

Manakala satu lagi kuota penyerang import masih kekal milik Muamer Salibasic.

Menurut Alberts, pemain kelahiran Bosnia itu sudah kembali menjalani latihan dan dijangka dapat beraksi dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, lima jadual perlawanan Sarawak dipinda melibatkan pertemuan menentang Terengganu (5 April dan 12 April), Kelantan (19 April), PKNS (17 Mei) dan Perak (24 Mei).

Jadual baharu seperti berikut: Terengganu (4 April dan 11 April), Kelantan (18 April), PKNS (16 Mei) dan Perak (23 Mei).

Sarawak akan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam esok.