Mayat lelaki ditemui terapung dekat pangkalan LKIM Tg Manis

0

SARIKEI: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung dibawa oleh arus Sungai Rajang sekitar jam 8.40 pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Dae­rah (KPD) Sarikei DSP Dominic Josip Nyarui dalam kenyataannya semalam ber­kata, mayat tersebut dijumpai terapung berhampiran pan­gkalan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tan­jung Manis.

“Ketika dijumpai, si mati memakai baju berwarna biru lengan panjang tanpa kolar, berseluar panjang ‘track suit’ berwarna hitam jenama ‘Gold City.’

“Bagi ciri-ciri badan si mati pula, mangsa berbadan gempal, tinggi lebih kurang 5 kaki 2 inci, rambut hitam lurus paras bahu, berkulit gelap, mempunyai tatu lambang bunga di lengan kanan.

“Pada masa yang sama, mangsa memakai rantai le­her yang diperbuat daripada dawai halus dipercayai tali pancing, bersama dengan satu pengepit pemotong kuku dan manik plastik berwarna hitam,” jelasnya.

Menurut Dominic, mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga empat hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang mulai mereput ketika ditemui.

“Sehubungan itu, pihak polis menyeru kepada mana-mana pihak atau ahli keluarga yang mempunyai rakan atau sanak-saudara yang hilang dan mempu­nyai ciri-ciri seperti yang telah digambarkan tersebut, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei menerusi talian 084 652222 atau Balai Polis Tan­jung Manis (084 613037) untuk proses pengecaman mayat.

“Hingga kini, mayat si mati kita tempatkan di Rumah Mayat Hospital Sarikei untuk menunggu proses pengeca­man dan tuntutan,” ujar Dominic lagi.