Sunday, August 7

Alberts congak strategi berbeza

0

GIGIH: Pemain Sarawak menjalani latihan sebagai persediaan menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam ini.

Sedikit perubahan taktikal akan dilakukan untuk menghadapi Pahang malam ini

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts akan menggunakan strategi berbeza pada perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.

Jelasnya, beliau perlu membuat sedikit perubahan taktikal terhadap skuad memandangkan Pahang bukanlah lawan yang mudah untuk ditumbangkan lebih-lebih lagi di laman sendiri.

“Pahang mempunyai corak permainan yang berbeza dari pasukan lain namun cukup berbahaya terutama penyerang mereka,” katanya semalam.

“Saya pasti, pemain lawan tidak akan memberi laluan mudah kepada kita pada perlawanan tersebut.”

Beliau turut menegaskan pemainnya agar tidak terlalu selesa dengan kedudukan semasa mereka dalam saingan liga.

Ini kerana rekod pertemuan kedua-dua pasukan lebih banyak memihak kepada Pahang yang kini dibimbing Ronald Smith.

“Fokus dan jangan mempersia-siakan setiap peluang yang diperolehi. Paling penting, pemain harus mengikut apa yang telah dirancang,” tambahnya.

Alberts bagaimanapun optimis Sarawak mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari perlawanan tersebut.

Ujarnya, kemenangan 3-1 ke atas LionsXII pada minggu lepas semakin menyemarakkan semangat pemain untuk meraih mata berharga.

“Pemain berada dalam prestasi terbaik selepas kemenangan ke atas LionsXII tempoh hari.

“Kemasukan Ryan Griffiths juga sedikit sebanyak melonjakkan moral pemain meskipun beliau belum dapat diturunkan,” katanya.

Sarawak bakal berdepan tugas sukar dalam tiga lagi perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super di mana mereka akan menentang Selangor (25 Mac), Johor Darul Takzim (29 Mac) dan Terengganu (4 April).

Ketika ini, Sarawak masih kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 12 mata hasil dari empat kemenangan.