Biro Pendidikan Pemuda SUPP anjur seminar kaunseling pendidikan di beberapa lokasi

0

MIRI: Sempena dengan pengumuman keputusan SPM dan STPM pada Rabu dan Khamis lalu, Biro Pendidikan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pusat menganjurkan seminar dan kaunseling pendidikan tinggi Malaysia khas untuk lepasan sekolah di beberapa lokasi.

Program seminar dan kaunseling tersebut diadakan di Kuching, Sibu, Miri, Sarikei, Limbang, Lawas dan Bintulu.

Program terbabit bermula di Kuching semalam, diikuti di cawangan SUPP di Miri pada malam ini mulai jam 7 malam.

Program sama turut diadakan pada malam ini di Bintulu, manakala pada jam 6.30 petang ini di dewan Persatuan Foochow Limbang.

Manakala pada 23 Mac, program akan diadakan di Kelab Rekreasi Chung Hua Lawas pada jam 10 pagi, Dragon Inn Hotel, Sarikei pada jam 1.30 petang dan di Dewan Sa’ati SUPP Cawangan Sibu pada jam 7 malam.

Program ini bertujuan untuk memberi panduan kepada lepasan pelajar serta ibu bapa mengenai kursus terkini yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), biasiswa dan pinjaman, syarat kemasukan serta bantuan permohonan IPTA secara ‘online.’

Selain seminar dan sesi kaunseling, pihak biro terbabit turut menyediakan khidmat kaunseling di laman sesawang sosial Facebook di bawah nama ‘SUPP Youth Higher Education Counseling.’

Ia bagi membantu lepasan pelajar yang tidak dapat hadir di lokasi seminar.

Justeru, lepasan SPM dan STPM dipelawa untuk menyertai program yang diadakan tersebut bagi memberi panduan untuk melanjutkan pelajaran kelak.

Untuk keterangan lanjut berhubung program berkenaan, boleh menghubungi Biro Pendidikan Pemuda SUPP pusat menerusi talian 082-246999 (Kuching) atau 085-655733 (Miri).