BN janji tunai janji, PKR dakwa raih kemenangan pertama

0

MUKAH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan usaha mereka telah berjaya sambil mendakwa mencapai kemenangan pertama apabila janji-janji Barisan Nasional (BN) bakal dilaksanakan selepas ini.

Ketua Cabang PKR Betong Abang Zulkifli Abang Engkeh mendakwa sekiranya PKR tidak menentang BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, BN akan berasa selesa dan janji-janji yang dilontarkan akan tenggelam begitu sahaja.

Beliau berkata, janji-janji seperti sekolah rendah dan menengah serta bekalan air sebenarnya sudah lama diutarakan.

“Kenapa baharu sekarang mereka mahu tunaikan janji mereka itu? Apabila PKR menentang mereka, secara automatik mereka menunaikan janji dan ia merupakan satu kemenangan kepada PKR untuk membantu rakyat.

“Kita melihat apa yang dijanjikan oleh BN. Dari sudut positif ini merupakan kemenangan pertama bagi kita yang ingin membantu rakyat.

“Kalau kita tidak masuk (bertanding), saya fikir ia mungkin tidak menjadi apa-apa perubahan di Mukah dan janji-janji mereka akan tenggelam begitu sahaja. Saya yakin perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia harus dibuktikan kepada rakyat bahawa perkara tersebut akan dilaksanakan dengan mengadakan majlis pecah tanah.

“Buktikan pada rakyat dan majlis pecah tanah harus dilakukan supaya selepas itu senang kita untuk merujuk balik sekiranya mereka tidak menunaikan janji mereka,” tambahnya.

Mengulas mengenai ceramah yang diadakan oleh PKR di Kampung Petanak malam kelmarin, Abang Zulkifli memberitahu sambutan dingin atas dakwaan penduduk kampung takut kepada pihak polis.

“Perkara ini harus diketahui oleh penduduk kampung bahawa pihak polis hanya mengawal dan menjaga keselamatan dan ia tidak seharusnya untuk ditakutkan.

“Kami membuat ceramah bukannya untuk melakukan atau menimbulkan kekecohan, lagi pun kita ada minta permit daripada pihak polis,” katanya.

Ceramah tersebut disampaikan empat orang penceramah dari Sarawak dan dihadiri lebih kurang 150 penduduk.