Kerajaan akan terus bela nelayan

0

Pasar nelayan langkah mengelak kebergantungan kepada orang tengah

MIRI: Kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk membina pasar nelayan di Miri.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, pembinaan dua pasar nelayan masing-masing di Kampung Piasau Utara dan Kampung Kuala Baram mampu mengurangkan kebergantungan nelayan terhadap orang tengah.

“Nelayan boleh menjual hasil-hasil tangkapan terus kepada pelanggan tanpa melibatkan orang tengah dan ia adalah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pendapatan nelayan,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri Ke-35, semalam.

Ahmad Lai memberitahu, pasar nelayan terbabit mampu mengelak nelayan daripada menjual hasil tangkapan kepada orang tengah, sebaliknya mereka menjual secara terus kepada pelanggan.

“Kerajaan tidak pernah menidakkan keperluan nelayan sebaliknya pelbagai bentuk bantuan telah diperkenal bagi membantu meningkatkan sara hidup nelayan secara keseluruhan,” jelasnya.

Ia termasuk bantuan elaun sara hidup, insentif pendaratan ikan, subsidi minyak, bantuan bencana alam, bantuan membaiki rumah nelayan dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan ahli-ahli PNK memilih ahli jawatankuasa yang benar-benar mampu menyumbang kepada kemajuan persatuan.

“Jika persatuan ini dipimpin ahli jawatankuasa yang berkaliber dan bertanggungjawab dalam tugas, maka pada ahli-ahli lain akan mendapat faedah seterusnya yakin untuk melabur,” jelasnya.

Menurutnya, sebelum ini PNK pernah berdepan masalah kewangan yang teruk namun dengan pelantikan ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab, ia mampu diselesaikan.

“PNK kini mendapat keuntungan setengah juta ringgit dan ia adalah hasil kerjasama kukuh di kalangan ahli jawatankuasa untuk memajukan persatuan,” ujarnya.

Beliau berharap semua ahli persatuan bijak memilih perwakilan mereka kerana jika PNK dipimpin oleh golongan yang berdedikasi, maka ahli juga akan mendapat faedah dan manfaat.

“Mereka harus tenang dan bijak memilih individu yang mampu mengekalkan momentum keuntungan dalam persatuan dan melaksanakan tanggungjawab di tahap terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, kira-kira 21 anak-anak nelayan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam menerima insentif masing-masing pada majlis itu.

Hadir sama ialah Pengerusi PNK Kaunselor Jamali Basri, wakil Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia Abdul Razak Ahmad, Pegawai Daerah Miri Faizal Ibrahim, dan Pegawai LKIM III Mastam Nodo.