Hidro mini mampu bekal air bersih

0

KUCHING: Penduduk Kampung Wong Bebelit merayu kerajaan agar segera membangunkan kemudahan asas, khasnya bekalan air dan elektrik di kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Wong Bebelit, Sumping Enjah berkata pihaknya mempunyai cadangan untuk mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, penduduk sepakat untuk memohon kemudahan elektrik secara hidro mini daripada Kementerian Luar Bandar dan kemudahan air bersih daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak melalui Pejabat Daerah Pakan.

Hasil perbincangan pihaknya dengan pengarah projek hidro mini yang juga jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Martin David, Sumping berkata pihaknya akan menggunakan teknologi dari China.

“Teknologi itu lebih efisien dan mampu mengeluarkan 10-15KW tenaga,” jelasnya.

Manakala perbincangan dengan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak, Enggong Aji pula akan membantu membekalkan air bersih kepada penduduk di kampung terbabit, jelasnya.

“Sumber air kami datang daripada air sungai berdekatan, air pula sekarang keruh dan berkelodak disebabkan aktiviti pembalakan.

“Kebanyakan penduduk kampung juga tidak mampu untuk membeli generator disebabkan kos minyak diesel yang mahal,” ujarnya lagi.

Kampung Wong Bebelit merupakan sebuah kampung yang terletak jauh di kawasan pedalaman, iaitu tiga jam perjalanan dari bandar Sarikei.

Kampung terbabit mempunyai 52 pintu dengan kira-kira 500 penduduk.

Projek tersebut juga mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum dan Pegawai Daerah Pakan Inting Nyami.