SJKC Chong Boon Mukah terima peruntukan RM400,000

0

MUKAH: Sejumlah RM400,000 peruntukan diluluskan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chong Boon di sini bagi menampung kos perbelanjaan pembinaan bangunan baharu sekolah tersebut.

Adenan menyifatkan sekolah itu bukan sekolah Cina sahaja, tetapi sekolah Cina dan Bumiputera kerana terdapat ramai murid Bumiputera turut belajar di situ.

“Ini menunjukkan orang Cina dapat menerima kaum Bumiputera untuk bersama-sama belajar dengan mereka walaupun ini adalah SJK Cina.

“Bukan di sini sahaja perkara ini berlaku. Terdapat sekolah SJK Cina di Miri juga mempunyai Bumiputera yang belajar bersama-sama dengan orang Cina, malah lebih daripada 50 peratus pelajar Bumiputera di situ,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan SJKC Chong Boon di sini, semalam.

Adenan berkata, beliau bukan Ketua Menteri untuk satu kaum sahaja, tetapi Ketua Menteri untuk semua kaum di Sarawak.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata pengamalan konsep 1Malaysia di Sarawak telah lama wujud dan amat terbukti.

“Konsep 1Malaysia jelas terbukti apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di negeri ini dapat menerima pelajar Bumiputera untuk belajar dan budaya ini telah lama diterapkan dalam masyarakat kita,” katanya.

Mengulas mengenai sekolah tersebut, Wong berkata terdapat sebuah bangunan baharu sedang dilaksanakan bagi menampung jumlah pelajar yang saban tahun semakin meningkat dan sebuah dewan serba guna untuk aktiviti kokurikulum.

“Bangunan baharu itu bukan sahaja untuk menampung jumlah pelajar, tetapi juga untuk aktiviti kokurikulum pelajar dan dewan serba guna untuk menjalankan aktiviti sukan,” katanya.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian, Yussibnosh Balo serta yang lain.