Kedai di pasar Tamparuli dipecah masuk

0

PEMILIK kedai menunjukkan kotak-kotak yang ditemui kosong selepas barangan jualan di dalamnya dicuri dalam kejadian terbabit.

KOTA KINABALU: Sebuah kedai menjual pelbagai barangan di pasar Tamparuli mengalami kerugian kira-kira RM300 selepas dipecah masuk Ahad lepas.

Dipercayai, pencuri terbabit memecah masuk pintu utama pasar dan merampas barangan jualan milik sepasang suami isteri kira-kira jam 4 pagi.

Bagaimanapun, mangsa Rosie Jerome, 55, dan suaminya hanya menyedari barangan jualan mereka dicuri jam 5.30 petang hari yang sama kerana premis itu ditutup setiap hari Sabtu dan Ahad.

Rosie berkata, pada hari Sabtu jam 5 petang, suaminya sempat singgah di kedai mereka tapi tiada apa-apa yang berlaku.

Namun, apabila suaminya kembali pada hari Ahad, beliau terkejut melihat keadaan kedai mereka yang digeledah dan beberapa kotak mengandungi makanan ringan ditemui kosong.

“Ini adalah kali ketiga kes kecurian seperti ini berlaku dalam tempoh tiga bulan.

“Mungkin kejadian ini boleh dielak sekiranya Majlis Daerah Tuaran menyerahkan kunci bilik stor kepada pemilik untuk meletakkan barangan jualan kami di pasar.

“Buat masa ini, kami hanya dapat meletakkan barangan jualan kami di bahagian tepi pasar,” katanya.

Pada masa sama jelasnya, kurangnya lampu di dalam pasar juga menyumbang kepada masalah kecurian di situ.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak bertanggungjawab dapat menyediakan bilik stor dan memasang lampu di kawasan pasar bagi mengatasi masalah kecurian.

Pihaknya menyewa kedai yang dimiliki oleh Majlis Daerah Tuaran itu sejak 10 tahun lepas.