Pembinaan tiga jalan bernilai RM22.46j dijangka bermula pada Mei

0

SRI AMAN: Pembinaan tiga jalan raya di Bukit Tungku/Sayat/Soh/Seremat dan Engkilili/Bukong/Changkul bernilai RM22.46 juta dijangka akan bermula pada Mei depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembinaan ketiga-tiga jalan raya sepanjang 34 kilometer itu dalam proses penganugerahan syarikat yang dipilih untuk melakukan kerja itu buat masa ini.

Menurutnya, kelewatan pembinaan jalan raya itu disebabkan beberapa faktor iaitu masalah pengambilan dana serta kerajaan baharu mendapat kelulusan peruntukan tambahan ketika ini.

“Ada sedikit kelewatan pembinaan jalan raya ini disebabkan faktor pengambilan dana baharu serta mendapat kelulusan tambahan sebagaimana yang kita sedang bahas hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak yang bertanya tentang status Jalan Bukit Tungku/Sayat/Soh/Seremat dan Engkilili/Bukong/Changkul pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen Selasa lalu.

Sementara itu, Nyalau ketika dihubungi melahirkan rasa kegembiraan setelah mendengar jawapan daripada Shafie berhubung perkembangan ketiga-tiga jalan itu.

“Saya rasa gembira sekali mendengar jawapan menteri itu kerana ketiga-tiga jalan itu amat diperlukan penduduk setempat di kawasan itu,” katanya.

Sehubungan itu Nyalau yang merupakan anak kelahiran Rumah Sayat berharap agar kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan kerja pembinaan jalan itu nanti akan melakukan kerja dengan baik.

“Saya berharap kontraktor dipilih mempunyai kewangan mencukupi bagi memastikan proses pembinaan jalan itu berjalan lancar,” katanya.