Belia sambut baik pelancaran ASB2

0

KUCHING: Pelancaran dana amanah kesepuluh yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mendapat sambutan baik golongan belia.

ASB2 yang dilihat khusus untuk generasi Y, dibuka dengan saiz 10 bilion unit, mampu menjadikan golongan belia di negara ini bersikap bijak melabur dan menyimpan.

Menurut Azizi Anuar, 26, dari Kampung Meranek Kota Samarahan, ASB2 membuka peluang kepada golongan muda menyimpan wang mereka dengan lebih bijak.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan dengan melancarkan ASB2 ini kerana dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan muda untuk melabur dan menyimpan wang mereka secara bijak,” katanya ketika ditemui semalam.

Dia memberitahu, golongan belia masa kini seharusnya diberi peluang untuk menyimpan dan melabur bagi mengelak golongan itu terus menjadi penyumbang kepada jumlah penghutang di negara ini.

“ASB2 ini dapat membantu golongan belia menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik supaya wang mereka tidak dihabiskan begitu sahaja,” tambahnya.

Malah, Aziz berkata had umur minimum untuk membuka akaun kanak-kanak diturunkan kepada enam bulan membolehkan ibu bapa menabung untuk anak-anak mereka.

“Skim pelaburan ini amat baik kerana selain memberi peluang kepada golongan belia, ia boleh dimanfaatkan golongan kanak-kanak yang berusia enam bulan,” jelasnya.

Sementara itu, Moamad Apijuden Othman dan Nazirol Sama’ail juga memberi reaksi yang sama dengan mengatakan pelancaran ASB2 membuka peluang baharu kepada golongan belia untuk melabur.

“Pelancaran ASB2 ini adalah bertepatan pada masanya kerana golongan belia harus diberi peluang yang khusus untuk melabur,” kata mereka.

Manakala Mohamad Ridduan Wahab, 26, berkata, ASB2 yang dilancarkan itu dapat menyediakan platform kepada golongan sasar untuk melabur dan menyimpan.

“Kalau tidak golongan muda ini akan terus terjerumus dalam pelaburan Internet yang sememangnya mereka ini sering menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Selain itu, Nurulain Marikan, 24, dari Matang Jaya turut menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan bilangan golongan belia dalam pelaburan.

“Saya yakin ASB2 ini akan membuka lebih banyak ruang kepada belia untuk melabur dan menyimpan, yang pastinya mendatangkan faedah kepada mereka,” ujarnya.

ASB2 dijual pada harga RM1 seunit dengan had pelaburan bagi akaun dewasa adalah RM200,000 manakala akaun kanak-kanak (berusia enam bulan hingga 17 tahun) maksimum RM50,000.

Sebanyak RM10 juta insentif disediakan kepada pelabur dengan 10 unit percuma akan diberi kepada pelabur yang membuat pendaftaran bermula Rabu lalu hingga 31 Disember tahun ini.