LUNDU: Seramai 30 ahli majlis diketuai Pengerusinya Hamsein Atar mengangkat sumpah sebagai ahli majlis baharu bagi Majlis Daerah Lundu (MDL) semalam di hadapan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Pada majlis itu, Adenan mengingatkan setiap ahli majlis yang baharu dilantik akan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat tidak kira besar atau kecil.
Beliau turut berharap ahli-ahli majlis yang baharu dilantik akan menjalankan tugas mereka dengan baik seperti yang telah dilaksanakan oleh ahli-ahli majlis sebelum ini.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa peruntukan untuk menjalankan projek adalah cukup untuk anda di Lundu ini.
“Justeru suka saya ingatkan semua anda di sini bahawa saya mahu melihat lebih banyak projek dilaksanakan di daerah ini agar ia setanding dengan kawasan-kawasan lain,” katanya ringkas.
Sementara itu Hamsein yang juga pegawai daerah Lundu berkata MDL merupakan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkecil di Sarawak dengan jumlah kakitangan hanya seramai 43 orang.
Namun begitu katanya, MDL berpegang kepada slogannya iaitu ‘To be the biggest amongst the smaller councils in Sarawak’ yang bukan sahaja dapat menjalankan semua skop tugas seperti majlis perbandaran lain malah terbukti mampu menjadi sebuah organisasi yang cemerlang.
MDL juga katanya, telah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan negeri manakala pada tahun 2013, MDL sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Ketua Menteri Sarawak (AKMS).
“Sesungguhnya warga majlis berasa amat bangga, penuh dengan keyakinan dan akan terus berkhidmat dengan penuh komited agar sentiasa relevan untuk menyampaikan hasrat kerajaan dalam soal mendekati komuniti.
“Sehubungan itu, saya menasihati ahli majlis yang baharu dilantik agar sama-sama memainkan peranan dalam sistem perkhidmatan sedia ada dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti,” ujarnya.
Turut hadir menyaksikan majlis pelantikan dan upacara angkat sumpah ahli majlis di Dewan Mesyuarat MDL itu semalam ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh, ADUN Opar Ranum Mina dan Pemangku Residen Bahagian Kuching Zamahari Saidi.