JHS cadangkan tujuh wilayah dengan 23 kawasan Zon Bebas Buaya

0

PADAWAN: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah mencadangkan tujuh wilayah dengan 23 kawasan Zon Bebas Buaya (CFZs) bagi memastikan konflik antara manusia dan buaya dapat ditangani.

Pengarah Hutan Sarawak Sapuan Ahmad berkata, dengan mewujudkan kawasan ini buaya akan ditempatkan di santuari khas yang lebih terkawal.

“Kawasan-kawasan yang dicadangkan untuk CFZs meliputi tujuh wilayah dengan 23 kawasan yang mana langkah menempatkan buaya-buaya di kawasan yang telah ditetapkan ini membolehkan sumber makanan haiwan berkenaan terkawal dan konsisten serta bagi mengelak konflik kehidupan dengan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2014 di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dekat sini, semalam.

Tambahnya, bertepatan degan keperluan konservasi hidupan liar antarabangsa, Jabatan Hutan Sarawak memastikan haiwan ini dilindung sepenuhnya di bawah Seksyen 29, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Bagaimanapun, Sapuan menjelaskan atas faktor keselamatan, manusia dibenar untuk mempertahankan diri serta harta benda mereka daripada serangan buaya melalui peruntukan di bawah ordinan yang sama dalam Seksyen 42.

“Apabila keadaan ini berlaku, penduduk mestilah melaporkan kepada pihak kami (Pejabat Hutan terdekat) dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.

Menurut Sapuan lagi, Tabung Khas Konservasi Hidupan Liar turut dilancar pada hari bersejarah tersebut bagi kepentingan penjagaan dan konservasi hidupan liar di Sarawak yang diuruskan oleh Sarawak Forestry Corporation.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa sehingga kini, lebih 2,000 Renjer Kehormat Hidupan Liar telah dilantik oleh kerajaan bagi menghalang sebarang aktiviti mengeksploitasi hidupan liar.

Pada sidang media selepas majlis, Sapuan berkata kawasan dicadangkan untuk CFZs bagi wilayah Kuching ialah di Tebingan Kuching (dari Jambatan Tun Abdul Rahman Yakub hingga baraj), sepanjang pantai dan perairan Pasir Panjang dan Pasir Pandak, Damai Lagoon Santubong, pantai dan perairan Teluk Asam, Teluk Pandan Besar, Teluk Pandan Kecil dan Taman Negara Bako, perairan Kampung Bako dan perairan Rizab Semula Jadi Gua Angin.

Bagi Sri Aman pula, jelasnya perairan Tebingan Sri Aman (kawasan Pesta Benak) dan jeti serta tempat mandi Engkilili dan sepanjang Sungai Sekrang.

“Untuk Betong, kawasan CFZs ialah di jeti dan kawasan mandi sepanjang Batang Saribas dan Sungai Rimbas (kawasan kepadatan populasi buaya tertinggi) dan jeti serta kawasan mandi sepanjang Batang Seblak dari Kampung Sessang ke Nanga Ibus.

“Wilayah Sarikei terletak di Tebingan Sarikei, Wilayah Sibu di Tebingan Sibu, Wilayah Bintulu di Tebingan Bintulu dan Wilayah Miri di Miri Marina ke Jambatan Piasau, Sungai Miri.

“Kemudian kawasan lain di Miri iaitu Tebingan Sepupok (Sungai Niah), Tebingan Bekenu ke perairan Kampung Dagang (Sungai Sibuti), perairan Esplanade Long Lama (Batang Baram), perairan Tebingan Limbang (Sungai Limbang) dan perairan Esplanade Lawas (Sungai Lawas),” jelasnya.