Kucing hutan besar di Gunung Santubong perlu dikaji: Anthony

0

SPESIES TERANCAM: Kucing hutan Entulu atau Bornean Clouded Leopard yang dijumpai di Gunung Santubong.

KUCHING: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) meminta agar penyelidikan dilakukan di Gunung Santubong yang merupakan habitat kucing hutan di Sarawak susulan penemuan tiga kucing hutan besar oleh penduduk tempatan di gunung itu pada Februari lepas.

Dikenali sebagai Entulu di kalangan penduduk tempatan atau Bornean Clouded Leopard dalam bahasa Inggerisnya, spesies itu mempunyai tubuh sepanjang dua meter dan berat hingga 25 kilogram.

Spesies berkenaan sangat terancam di Sarawak ekoran aktiviti berburu dan kehilangan habitat di hutan.

Pengerusi MNS Cawangan Kuching Anthony Sebastian dalam kenyataan akhbarnya berkata penemuan tiga kucing hutan di Santubong, kawasan baharu diwartakan sebagai Taman Negara, amat bermakna.

“MNS sekian lama telah menekankan kepentingan dan kepelbagaian biologi di Gunung Santubong.

“Dengan tumpuan yang lebih banyak diberikan kepada gunung ikon Kuching itu, penemuan baharu telah dilakukan.

“Sebelum ini kita fikir tidak ada enggang, Santubong kini dikenali dengan empat spesies enggang.

“Dahulu cuma ada satu spesies memerang, tetapi kini mungkin ada tiga spesies memerang di Santubong,” katanya.

Penemuan Entulu di Santubong merupakan satu tambahan kekayaan hidupan liar di situ.

Ia bukan sekadar kucing hutan malahan kucing pemangsa utama di Borneo dan kucing terbesar, kata Sebastian.

Ia dijumpai oleh juruukur yang bertugas melakukan kerja- kerja awal bagi projek pembinaan kereta kabel.

Kucing tersebut mungkin terjejas akibat projek berkenaan.

Justeru, Sebastian berkata sebelum dilaksanakan pembangunan di Santubong adalah mustahak untuk melakukan kajian menyeluruh agar tidak menjejaskan kewujudan spesies unik itu.