KUCHING: Sebuah stesen minyak di Jalan Batu Lintang, di sini dipecah masuk sekumpulan lelaki bertopi keledar awal pagi semalam.
Seorang daripada pekerja stesen minyak berkenaan berkata pelbagai barang dilaporkan hilang termasuk makanan serta rokok berjenama dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2 pagi itu.
Menurutnya, mereka yang tingal berdekatan dengan stesen minyak itu mula menyedari kejadian tersebut sebaik sahaja mendengar sistem penggera berbunyi namun hanya sempat melihat kelibat beberapa individu bertopi keledar.
“Kami pada mulanya dikejutkan dengan bunyi cermin pecah, diikuti bunyi sistem penggera dan apabila kami melihat ke luar, kami hanya sempat melihat beberapa orang bertopi keledar melarikan diri dari situ dengan menaiki sebuah kereta berwarna gelap,” katanya.
Dia menambah, mereka kemudian terus menghubungi pihak polis dan majikan mereka untuk melaporkan mengenai insiden tersebut.
Difahamkan juga, stesen minyak tersebut yang beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
Hasil rakaman dipercayai suspek telah memecahkan cermin hadapan premis berkenaan untuk masuk ke dalamnya.
Beberapa anggota polis daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) bersama anggota dari balai polis berhampiran turut bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.