Kerajaan utamakan keperluan rakyat

0

Pembangunan dilaksana secara sistematik agar rakyat nikmati masa depan lebih baik

MATU: Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata keperluan rakyat adalah perkara utama yang menjadi perhatian kerajaan walaupun mengambil masa untuk dilaksanakan.

Katanya, program pembangunan dilaksanakan secara sistematik bagi memastikan rakyat menikmati masa depan lebih baik.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mencari formula terbaik untuk kepentingan rakyat.

“Pelaksanaan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada satu sudut sahaja, sebaliknya menyeluruh termasuk infrastruktur, pendidikan, pertanian dan sebagainya.

“Namun, untuk merealisasikan pelaksanaannya rakyat harus memberi sokongan padu kepada kerajaan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Treng, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, keutuhan institusi keluarga bukan sahaja penting dalam penjanaan modal insan berkualiti tinggi tetapi juga mampu mewujudkan sebuah bangsa bertamadun.

Aspek itu amat penting bagi membolehkan negara kita memiliki modal insan berkualiti dan mampu menjadi generasi pelapis pada masa depan.

“Bagi kerajaan pula, kita menyediakan pakej transformasi  menyeluruh selain menekankan keperluan memahami kehendak dan aspirasi rakyat agar mereka sentiasa didahulukan.

“Manakala bagi rakyat, mereka perlu ada kepercayaan dan aspirasi untuk cintakan negara.

“Kita wajib mengamalkan cara menerima perbezaan dan mencari persamaan antara kita agar hubungan terus kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi gesaan agar pemimpin masyarakat meningkatkan sistem penyampaian bagi memastikan pembangunan dapat dikecapi rakyat.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat memikul amanah berat dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan secara menyeluruh serta berusaha mengeratkan perpaduan.

“Saya mahu pemimpin kampung lebih agresif memberi maklumat yang tepat berhubung masalah di kampung yang bukan hanya masalah kecil tetapi masalah lebih serius,” katanya.

Justeru, Abu Seman berharap masyarakat luar bandar dapat bergerak selari dengan masyarakat bandar agar mereka tidak jauh ketinggalan.

“Kita berharap golongan ini peka dengan segala perkembangan yang berlaku terutama berkaitan usaha dan peluang untuk memajukan diri,” katanya.

Sekitar 200 anggota masya-rakat hadir memeriahkan majlis itu.