Pelancongan tiga negara dijangka rancak

0

Sektor pelancongan Malaysia, Brunei dan Indonesia dijangka rancak menerusi akses Jalan Pan Borneo

MIRI: Sektor pelancongan Malaysia dengan dua negara jiran, Brunei Darussalam dan Indonesia dijangka semakin rancak menerusi akses Jalan Pan Borneo.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata melalui akses jalan berkenaan rakyat ketiga-tiga negara mampu melawat antara satu sama lain dan dapat merancakkan sektor pelancongan.

“Jalan Pan Borneo menghubungkan antara Malaysia, Brunei serta Indonesia dan kita percaya rakyat dapat melawat negara-negara terbabit antara satu sama lain dan meningkatkan persefahaman di kalangan mereka,” katanya pada Majlis Malam Ride for Charity, Miri Big Biker 2014 di sini malam kelmarin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menjelaskan bahawa akses jalan berkenaan juga mampu menarik kehadiran pelabur dan mewujudkan peluang perniagaan dan sebagainya.

“Kita memuji usaha Persatuan Big Bikers Brunei, Limbang, Labuan dan Miri menganjurkan program amal ini yang pada dasarnya memberi manfaat kepada sektor pelancongan Miri,” ujarnya.

Beliau berkata, akses jalan raya yang menghubungkan ketiga-tiga negara terbabit dapat menjadi medium terbaik untuk mempromosikan negara dalam sektor pelancongan.

“Pelawat yang menggunakan jalan darat dapat mempelajari budaya dan adat resam penduduk tempatan serta melawat tempat-tempat menarik di ketiga-tiga negara,” tambahnya.

Pada masa sama, pelancong dari negara itu juga mampu merancang perbelanjaan dengan lebih baik berikutan penggunaan jalan darat lebih murah.

“Kita mempunyai pengalaman yang baik dalam industri pelancongan dan kita yakin kehadiran pelancong di sini akan disambut dengan tangan terbuka oleh penduduk tempatan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sarawak terutama Miri mempunyai banyak kawasan pelancongan yang perlu dilawati pelancong dari kedua-dua negara terbabit.

“Miri memiliki banyak kawasan pelancongan yang menarik dan unik dan pelawat yang datang ke sini akan kerugian jika tidak melawat kawasan-kawasan yang diiktiraf dunia,” katanya.