PEMILU 2014 dilaksana dua kali iaitu PEMILU Legislatif, PEMILU Presiden

0

KUCHING: Pilihan Raya Umum Indonesia 2014 (PEMILU 2014) akan dilaksanakan dua kali iaitu PEMILU Legislatif pada 9 April bagi memilih anggota dewan legislatif (Ahli Parlimen) dan Pemilu Presiden pada 9 Julai untuk memilih Presiden dan Wakil Presiden.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Indonesia di Sarawak (Panitia Pemilihan Luar Negeri Sarawak-PPLN) Fathan Soetrisno berkata, tempoh berkempen PEMILU 2014 di Indonesia akan berlangsung sehingga 8 April ini, sehari sebelum proses pengundian Pemilu Legislatif.

Jelasnya, di Malaysia terdapat enam tempat disediakan untuk membuang undi bagi pengundi luar negeri melibatkan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Tawau.

“Selain mengundi di enam lokasi berkenaan yang mana di Kuching adalah di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI), pengundi boleh menjalankan tanggungjawab melalui dua kaedah lain iaitu menghantar ke kotak undi di lokasi seperti kilang dan ladang yang telah ditetapkan atau mengirim melalui undian secara pos,” katanya.

Tambahnya, proses pengiraan undi hanya akan dibuat pada hari pengundian di Indonesia.

“Pengundi yang berada di luar negara perlu menjalani pengundian awal ekoran penjumlahan undi akan dilakukan pada tarikh sama dengan Pemilihan Umum di Indonesia iaitu 9 April.

“Manakala, proses pengiraan undi daripada peti undi mudah alih serta pos akan mula dikira pada 10 hingga 15 April,” jelasnya

Menurutnya, sehingga semalam (Ahad) kira-kira 90 peratus peti undi mudah alih sudah dibawa oleh pasukan yang ditugaskan ke KJRI (pusat pengundian dan pengiraan undi).

Sementara itu, keputusan pemilihan dijangka akan diumumkan secara rasmi pada 15 April dengan penglibatan 130 kedutaan dan konsulat di seluruh dunia.

Terdahulu, seramai 714 petugas pemilihan bertugas semasa proses berlangsung di Malaysia.

Setelah berakhirnya pemilihan perwakilan legislatif ini, sebuah lagi pilihan raya bagi memilih calon presiden pula berlangsung pada Julai nanti.

Gabenor Jakarta Joko Widodo mewakili PDIP adalah antara calon yang akan bertanding jawatan Presiden.