Guru daripada pelbagai peringkat diseru sertai iCARE 2014

0

KUCHING: Para guru daripada pelbagai peringkat di negeri ini diseru menyertai Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Tindakan Dalam Pendidikan 2014 (iCARE 2014) yang akan diadakan pada 23 dan 24 September akan datang di Hotel Pullman, di sini.

Menteri Kebajikan, Keluarga dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata persidangan berkenaan amat penting kerana ia bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme para pendidik.

“Saya menyeru guru di pelbagai peringkat sama ada sekolah, institusi perguruan atau universiti agar mere-but peluang ini untuk meningkatkan profesionalisme kerana ia akan menampilkan beberapa pakar antarabangsa selaku penceramah,” katanya yang juga penasihat iCARE 2014.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada penganjur persidangan, Persatuan Perkembangan Profesionalisme Pendidikan Sarawak (PROFES) di pejabatnya di sini, semalam.

PROFES dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang akan berkolaboratif dalam menggalas cabaran meningkatkan tahap profesionalisme para pendidik menerusi penganjuran iCARE 2014.

Ia juga telah disokong oleh kerajaan negeri dan Biro Konvensyen Sarawak.

Sementara, Ketua Jabatan Inovasi dan Kajian IPG Kampus Batu Lintang yang juga ahli jawatankuasa pengelola Chuah Kim Hwa berkata pihaknya menyasarkan seramai 300 peserta dari dalam negeri dan antarabangsa.

Justeru, beliau menyarankan kepada yang berminat agar segera mendaftar dengan bayaran pendaftaran bagi peserta tempatan adalah RM350 manakala peserta antarabangsa adalah AS$350 (bayaran pendaftaran termasuk beg, tag nama, buku program serta sijil penyertaan – tidak termasuk penginapan).

“Peserta yang membuat pembayaran pendaftaran sebelum 30 April akan diberikan rebat sebanyak RM50 (tempatan) dan AS$50 (antarabangsa),” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai iCARE 2014, sila layari http:www.ipbl.edu.my/icare.