Pusat latihan, program untuk kanak-kanak VIMD sangat diperlukan

0

KUCHING: Sebuah pusat latihan dan program untuk kanak-kanak VIMD (Visual Impaired Multiple Disability) sangat diperlukan di negeri ini.

Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa VIMD Margaret Siki berkata kemudahan tersebut amat penting untuk membantu mendidik kanak-kanak berkeperluan istimewa tersebut.

“Buat masa ini, tiada satu pun pusat latihan dan program untuk kanak-kanak VIMD diwujudkan di seluruh negara…cuma difahamkan, ia dijangka dibuka di Pulau Pinang dan ini akan menjadi yang pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama-sama rombongan Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT) mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di pejabatnya di sini, semalam.

Margaret yang mempunyai empat anak mengalami VIMD menambah, tenaga pakar bagi mendidik kanak-kanak VIMD juga amat diperlukan khususnya di negeri ini.

Sementara, kunjungan hormat oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa VIMD dan PIBAKAT kepada Fatimah adalah bagi mengusulkan cadangan untuk pembinaan pusat latihan dan program untuk kanak-kanak VIMD di Sarawak.

Setiausaha Agung PIBAKAT Ng Kui Choo berkata dengan tertubuhnya pusat tersebut, ia dijangka menjadi yang kedua di Malaysia.

Justeru, katanya ia akan dapat memenuhi objektif PIBAKAT dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa VIMD bagi mendidik kanak-kanak VIMD agar dapat menjalani kehidupan sebaik yang mungkin.

Di samping itu, beliau berkata pusat latihan dan program juga boleh digunakan untuk menyokong dan melatih ibu bapa serta ahli keluarga menjadi penyokong yang lebih bermaklumat dan berkesan untuk kanak-kanak VIMD.

Pada masa sama, katanya ia juga bagi mendidik ibu bapa mengenai keperluan untuk mengambil bahagian dalam pendidikan anak-anak mereka bagi memastikan keselarasan di antara apa yang anak-anak mereka belajar di rumah dan sekolah atau di pusat latihan.

“Semua ini adalah bagi memastikan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas akan mendapat manfaat daripada pengalaman pendidikan termasuk peluang pembelajaran yang berkualiti dengan jangkaan yang mengambil kira keperluan setiap kanak-kanak,” kata Ng yang juga penasihat Kumpulan Sokongan Ibu Bapa VIMD.

Menurut Ng, anggaran kos untuk penubuhan awal kemudahan tersebut adalah sebanyak RM150,000.

Justeru, sumbangan daripada pihak korporat atau orang ramai juga sangat dialu-alukan.

Hadir sama Presiden PIBAKAT Zaidi Ahmad, Naib Presiden Eric Tang dan Bendahari Raymond Chong.