15 PATI ditahan dan disiasat kejadian culik di Semporna

0

PUTRAJAYA: Sebanyak 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Sabah ditahan dan sedang disiasat berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna Rabu lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dalam usaha membebaskan dua wanita mangsa culik itu yang kini dipercayai berada di negara itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran berhubung lokasi dan nama pusat peranginan tempat 15 PATI itu bekerja.

“Sehubungan itu, saya menasihati pengusaha resort dan majikan tidak mengambil warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah kerana ia akan memberi pelbagai masalah kelak.

“KDN mensyaki 15 orang PATI yang ditahan ini menjadi tali barut (pemberi maklumat) kepada kumpulan penculik, bagaimanapun, kesemuanya masih disoal siasat sama ada mereka terbabit dalam penculikan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini semalam. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Rabu lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.

Ahmad Zahid berkata pihak pentadbiran ESSCOM bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia dan polis berperanan penting dalam memastikan kawasan pantai timur Sabah bebas daripada sebarang kegiatan jenayah namun sekiranya pengusaha resort dan majikan melindungi pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sah, agak sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan.

Beliau berkata KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang dikesan membawa masuk, menggaji dan membenarkan PATI tinggal di premis mereka mengikut Seksyen 55A, Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1)(d)Akta Imigresen 1959/63.

Seksyen 55A memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara maksimum dua tahun dan sebatan, Seksyen 55E memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 56 (1) (d) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

“Majikan turut boleh didakwa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010),” katanya.

Ahmad Zahid berkata KDN telah memberi masa secukupnya kepada majikan menerusi Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) yang dilaksanakan di Pusat Kelulusan Setempat (OSC) KDN yang tamat pada 20 Jan lepas. — Bernama