Paul nafi Tiong bertanding menentang Mawan

0

KUCHING: Timbalan Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Paul Igai menafikanTimbalan Presiden Datuk Seri Tiong King Sing akan bertanding merebut jawatan presiden pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) parti itu yang akan diadakan tahun depan.

Perkara itu turut disangkal oleh Tiong sendiri yang menyifatkan ia hanya spekulasi media dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Orang media yang syok sendiri, anda tahu mereka cipta berita, membuat spekulasi, anda tanggung sendiri, saya tidak akan mengulas mengenai perkara itu.

“Saya sering menerima panggilan telefon (daripada media) bertanyakan perkara yang direka sendiri atau hanya spekulasi,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.

Sementara itu Paul memberitahu beliau tidak melihat sebarang alasan Tiong akan menentang Mawan merebut jawatan tertinggi dalam parti memandangkan mereka mempunyai hubungan yang sangat baik.

“Umum harus melihat perkara ini sebagai khabar angin…Tiong dan Mawan bersependapat berhubung perkembangan terkini dalam parti malah mereka bekerjasama sekarang,” katanya apabila diminta mengulas perkara sama.

Baru-baru ini spekulasi mengatakan ahli parti yang sehaluan dengan Tiong ketika ini bekerja keras di peringkat akar umbi melobi sokongan dalam kalangan ahli-ahli di peringkat cawangan agar mencalonkan Ahli Parlimen Bintulu itu untuk jawatan presiden.

Hangat diperkatakan pengikut setia Tiong melobi sokongan di kawasan-kawasan Saratok dan Limbang agar menyokong beliau bertanding merebut jawatan berkenaan.

Pemerhati-pemerhati politik turut meramalkan usaha melobi itu akan diperhebatkan lagi memandangkan TGA itu semakin hampir.

Dipercayai penyokong-penyokong Tiong menyaksikan TGA parti akan datang sebagai masa yang sesuai untuk Tiong mencabar Mawan yang merupakan Ahli Parlimen Saratok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap penerimaan semula empat bekas ahli parti itu menyertai SPDP.

Mereka yang dikenali G4 ialah ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusi, Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi) Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).

Empat pemimpin yang dimaksudkan diterima semula menjadi ahli parti dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Petra Jaya 19 Mac lepas. Mereka dipecat dua tahun lalu kerana menentang pucuk kepimpinan parti.