Pegawai kerajaan rugi RM22,649 rumahnya dipecah masuk pencuri

0

LIMBANG: Seorang pegawai kerajaan mengalami kerugian RM22,649 selepas kediamannya di kuarters kerajaan di Batu Biah di sini dipecah masuk pencuri tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai yang mengesahkan kejadian itu berkata ia berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, kejadian disedari sebaik mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun, pulang ke rumah.

“Mangsa terkejut apabila mendapati pintu hadapan rumahnya diumpil.

“Pemeriksaan mendapati beberapa barangan berharga hilang dalam kejadian itu,” katanya.

Mohd Bukhori berkata, antara barangan yang hilang ialah dua kamera digital, tiga komputer riba jenama Acer, barangan kemas bernilai RM7,000 dan pelbagai barangan bernilai lain.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.