Pendidikan amat penting untuk bangunkan masyarakat

0

MUKAH: Bidang pendidikan amat penting untuk membangunkan sesebuah masyarakat agar terus maju.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata kerajaan sentiasa memberi sokongan dalam bidang pendidikan untuk membentuk anak-anak berjaya dan berguna kepada masyarakat.

Menurutnya, pendidikan mampu melahirkan seorang individu yang budiman dan dengan pendidikan yang dimilikinya mampu mencurah bakti serta membangunkan masyarakatnya sendiri.

“Oleh itu, kita lihat betapa pentingnya bidang pendidikan kepada masyarakat dan kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap bidang tersebut,” katanya pada perasmian Pesta Kaul Oya 2014 di Arena D’ Sanglau, Oya di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Fatimah memperuntukkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 untuk kos sambutan Pesta Kaul Oya, RM40,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Pengiran Mohamad dan RM3,500 kepada pasukan bola sepak yang mewakili daerah kecil Oya pada Kejohanan Bola sepak Pesta Kaul Mukah.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya merupakan sebuah negeri yang mantap dari segi perpaduan kaum.

Beliau berkata, masyarakat lain yang bertandang khasnya pelancong dari luar negeri melihat kesepakatan dan keharmonian yang kita miliki.

“Kekayaan budaya dan keharmonian kita adalah amat penting kerana pelancong bukannya hendak melihat bangunan-bangunan pencakar langit, tetapi mereka ingin melihat budaya, budi bahasa dan perpaduan kaum yang kita miliki.

“Kita telah berjaya mewujudkan sebuah negeri yang harmoni dan semangat perpaduan kaum yang tinggi di kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua masyarakat agar terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum untuk kesejahteraan bersama.