Bidang maritim kini semakin diminati belia

0

Temu duga pengambilan pelatih baharu Akademi Pelita Maslaut Miri mendapat sambutan luar biasa

MIRI: Temu duga pengambilan pelatih baharu Akademi Pelita Maslaut Sdn Bhd (Akademi Pelita Maslaut) Miri semalam mendapat sambutan luar biasa daripada belia lepasan sekolah.

Pengarah Urusannya Masni Amit berkata temu duga yang diadakan selama dua hari bermula semalam (Rabu) dan Khamis itu terbuka kepada semua pelatih lelaki yang ingin menceburi bidang maritim.

“Sambutan yang luar biasa ini membuktikan bidang maritim kini sudah mendapat tempat di kalangan belia berikutan kerjaya itu setanding dengan kerjaya lain yang menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya di sini semalam.

Masni memberitahu, pihaknya setakat ini telah mengadakan sebanyak 10 siri pengambilan pelatih termasuk yang terbaharu jurusan Kesedaran Keselamatan (SA).

Menurutnya, meskipun golongan lelaki lebih berminat menceburi bidang itu berbanding wanita, namun pihaknya juga pernah mengadakan kursus operasi radio untuk wanita.

Mengulas lanjut tentang temu duga berkenaan, beliau berkata antara syarat-syarat pengambilan pelatih ialah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia, sihat tubuh dan mahir berenang.

“Kami sentiasa menekan pengambilan pelatih yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang maritim selain mempunyai kemahiran berenang dan sihat tubuh,” jelasnya.

Beliau memberitahu, setiap jurusan yang ditawarkan akademi itu selama dua hingga tiga bulan dan sebaik mereka tamat kursus teori, pelatih akan menjalani latihan industri.

“Kami kemudiannya akan menempatkan pelatih untuk menjalani latihan industri di syarikat-syarikat perkapalan yang besar seperti Dayang Enterprise, Ajang Shipping dan sebagainya,” jelasnya.

Menurutnya, sekiranya pelatih menunjukkan prestasi yang cemerlang dan komitmen yang tinggi sepanjang latihan industri, maka tidak mustahil mereka akan diambil bekerja oleh syarikat berkenaan.