Friday, September 24

Pemuda dakwa jadi mangsa lintah darat

0

JAMES (kiri) menunjukkan antara resit laporan pihak berkuasa dan bukti berhubung kewujudan premis judi haram di sekitar bandar Labuan ketika menemui pemberita di sini kelmarin.

Akibat bermain judi haram sehingga berhutang kira-kira RM15,000

KOTA KINABALU: Seorang pemuda tempatan kini berdepan detik hitam selepas terjerat dengan ‘lintah darat’ dipercayai akibat bermain judi siber haram di sebuah lokasi di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Pemuda berasal dari Semenanjung Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai James, 28, itu mendakwa dirinya berhutang kira-kira RM15,000 dengan sebahagian ceti haram di situ selepas kalah bertaruh.

“Saya sudah terbabit dengan permainan ini di beberapa lokasi di Labuan dan sudah menghabiskan puluhan ribu ringgit.

“Apa yang amat dikesali adalah, mereka (dipercayai pengusaha siber) memperkenalkan pinjaman untuk terus bermain dan akibat terpedaya, saya mengambilnya sehingga terjerat dengan hutang sebanyak RM15,000.

“Tujuan saya tampil memberikan keterangan kepada media adalah semata-mata memberikan amaran kepada orang ramai khususnya warga di Labuan agar tidak menjadi mangsa sepertimana yang pernah saya alami,” katanya dalam satu pertemuan di sebuah lokasi di sini kelmarin.

Dia bertindak melaporkan hal berkenaan kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbadanan Labuan bagi tindakan lanjut.

James turut mendakwa premis yang dipercayai menjalankan siber haram di Labuan diibaratkan ‘tumbuh bak cendawan selepas hujan’ di beberapa lokasi sekitar bandar dan berharap langkah wajar akan diambil bagi membendung segala kejadian tidak diingini.

“Saya aktif bermain judi dari Jun 2013 hinggalah sekitar Feb lalu sebelum terpedaya dengan perangkap dalam kejadian ini.

“Sehubungan itu, saya berharap ada tindakan yang diambil oleh pihak berwajib bagi menangani isu premis judi haram di Labuan dalam tempoh terdekat,” katanya.