Persepsi bidang kemahiran hanya untuk golongan gagal akademik perlu dikikis

0

ALOR SETAR: Persepsi negatif kononnya bidang kemahiran hanya untuk golongan yang kurang berjaya dalam akademik perlu dikikis kerana bidang kemahiran sebenarnya mampu memberikan pulangan pendapatan yang tinggi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ramai di kalangan golongan muda melihat bidang kemahiran sebagai pilhan kedua terutama bagi mereka yang tahap kelayakan akademik tidak begitu tinggi.

“ Itu tidak tepat. Ada pekerjaan-pekerjaan tertentu memerlukan kemahiran dan memberi pendapatan sangat tinggi. Kita berhasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, dan bidang kemahiran tetap jadi tumpuan.

Dalam sektor kemahiran ia sangat membantu (menjadi negara maju).

“ Ketika Mara adakan latihan untuk kimpalan, awal-awal dulu ramai tak minat..(didakwa) kerja susah, gaji tak tinggi. Padahal ada pengimpal gaji lebih tinggi daripada Menteri Besar. Seperti dalam sektor minyak dan gas, pulangan sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan Zon Utara (KEKKu) 2014 di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib. KEKKu 2014 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia diadakan sejak 17 April sehingga semalam.

Mukhriz berkata untuk menjadi sebuah negara industri, Malaysia bukan hanya memerlukan jurutera tetapi juga memerlukan juruteknik.

“Kita tidak hanya perlukan jurutera yang pakar tetapi perlukan juruteknik, yang benar-benar buat kerja dengan tangan, bukan hanya buat reka bentuk dan merancang, tetapi orang yang akan melaksanakan. Juruteknik sangat penting untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadi negara industri berpendapatan tinggi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz berkata Kerajaan Negeri Kedah mahu lebih ramai tenaga muda yang berpotensi menceburi bidang latihan berteraskan kemahiran tinggi, sekaligus meningkatkan kebolehkerjaan mereka di samping daya saing negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif. — Bernama