Projek naik taraf gelanggang takraw Sungai Plan dibincang

0

BINTULU: Projek menaik taraf gelanggang sepak takraw di Sungai Plan dibincangkan lebih lanjut bagi memastikan pembinaan gelanggang itu dapat dilakukan segera.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir berkata, permohonan pembinaan gelanggang sepak takraw di Sungai Plan telah diterima dan perkara itu dibincangkan dengan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing untuk meluluskan projek itu.

“Mungkin pembinaan gelanggang itu boleh dibuat secara gotong-royong bersama persatuan dan Kawasan Rukun Tetangga Sungai Plan atau melalui tindakan lain yang dapat dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ahli Parlimen Bintulu pada Majlis Penutupan Karnival Mesra Belia 1Malaysia Peringkat Bahagian Bintulu anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu di Balai Raya Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan, Tanjung Kidurong di sini semalam.

Karnival berlangsung sejak 18 April lalu itu merupakan usaha menarik golongan belia terlibat dengan kerajaan dalam pembangunan belia setempat.

Zaiedy berkata penyertaan penduduk dalam aktiviti berkaitan  sukan amat penting bagi mencungkil bakat-bakat mereka.

Merujuk penyertaan 10 pasukan dalam pertandingan futsal pada karnival itu,  beliau berkata penyertaan lebih banyak pasukan daripada 18 blok rumah flat di Sungai Plan kepada 18 pasukan adalah lebih baik berbanding 10 pasukan.

“Penyertaan mereka mungkin dapat mencungkil bakat-bakat yang ada untuk diketengahkan di peringkat bahagian dan seterusnya negeri dan kebangsaan pada Kejohanan Futsal Peringkat Parlimen,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap Jabatan Belia dan Sukan di sini akan menganjurkan lebih banyak acara sukan dan program berkaitan untuk penduduk di Sungai Plan dan tempat-tempat lain.

Beliau turut meminta agar setiap blok rumah flat di Sungai Plan melantik ketua mewakili blok masing-masing bagi memudahkan penyaluran bantuan oleh Ahli Parlimen Bintulu dan penganjuran pelbagai program.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu Daniel Batin berkata aktiviti itu untuk mempromosi program khusus belia yang menjayakan Perhimpunan Belia seluruh Malaysia di Putrajaya pada masa akan datang.

Selain itu, program itu adalah untuk pembangunan belia dan sukan setempat.

Beberapa aktiviti yang dilaksanakan pada karnival itu seperti senamrobik, senaman zumba, demonstrasi kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu dan demonstrasi keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Persembahan kebudayaan, pertunjukan seni bela diri, kereta Tamiya, karaoke `Youth Voice’, kereta kawalan jauh, gubahan bunga, mewarna, sukaneka dan futsal 1Malaysia turut diadakan.

Pertandingan futsal menyaksikan Twister United muncul juara, diikuti tempat kedua TSP-FT dan ketiga Ayyas Vaie.

Turut hadir Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Sungai Plan Bujang Hashim, Ketua Kaum Kampung Sungai Plan Lot Bujang Wahab, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) Mohd Zaifulfadillah Junaidi, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim dan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu Gregory Kurung Suwen.