Masih ramai tidak daftar kelahiran

0

Nancy bimbang banyak kes di luar bandar yang didiamkan sahaja

KUCHING: Masih terdapat penduduk tempatan khasnya di kawasan luar bandar di negeri ini tidak mendaftarkan kelahiran dan tidak memiliki kad pengenalan.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang melahirkan rasa kebimbangannya kerana masyarakat luar bandar masih kurang peka terhadap pentingnya perkara tersebut.

Malah, menurutnya, setakat ini beliau telah berjaya membantu menyelesaikan dua kes berkaitan dengan sijil kelahiran dan kad pengenalan yang berlaku di kawasan Parlimen Batang Sadong.

“Saya sedar masalah ini masih lagi berlaku khususnya di kawasan luar bandar, namun apa yang membimbangkan saya ialah dikhuatiri ada banyak kes seperti ini disembunyikan dan didiamkan sahaja.

“Masyarakat khasnya di kawasan luar bandar harus sedar betapa pentingnya mendaftar kelahiran anak mereka dan memiliki kad pengenalan supaya masalah berkaitan bantuan dan keperluan anak-anak mereka seperti persekolahan tidak timbul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Justeru, Ahli Parlimen Batang Sadong itu menggesa ketua-ketua masyarakat agar meningkatkan peranan mereka serta lebih kerap turun padang untuk meninjau sendiri masalah itu.

Nancy memberitahu ia penting dilakukan bagi membantu mereka yang masih tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Segala peluang keemasan yang disediakan oleh kerajaan tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika kita tidak memiliki dokumen pendaftaran atau kad pengenalan,” katanya.

Selain mendaftarkan kelahiran dan kad pengenalan, beliau mendedahkan terdapat juga kes kegagalan mendaftarkan perkahwinan.

“Semua perkara ini bersangkut paut jika kita tidak mendaftar perkahwinan maka timbullah pelbagai masalah berkaitan kelahiran anak,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) bersama-sama dalam menyampaikan maklumat tersebut di peringkat akar umbi agar hak semua rakyat terus terbela.

“Anda boleh bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyuarakan masalah setempat sekaligus menjadi agen yang mampu membantu kerajaan menyelesaikan masalah di kalangan masyarakat.

“Saya berharap semua pihak akan bekerjasama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.